Tuesday, March 25, 2008

Tujuan Tuntutan Menutup Aurat.

Isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia termasuk dalam kategori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang diperjuangkan oleh syaitan.

Sebabnya, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, buang anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi.

Perihal syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya:-

"Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya.." (Al-A'raf:20)

Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah:-

a) Perbezaan dengan binatang.

Allah SWT berfirman ertinya : "Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu satu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" (Al-A'raf:26)

Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiata sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru sesiapa yang berpaling dari arahan ini, secara tidak langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.

b) Agar kaum wanita tidak disakiti.

Ia berdasarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.

c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut: "..yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).."

Jelaslah menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam.

d) Tanda profesionalisme dalam sistem pemakaian Islam.

Kita dapat memerhati bagaimana 'trend' sesebuah organisasi atai restoran meletakkan 'dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu.

Justeru, Islam adalah satu cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan didalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan.

Walaupun demikian, Islam tidak mengarahkan umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu 'standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.

e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Firman Allah ertinya: Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk:2)

Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya ?.


Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah, Masjid Negeri Sabah.

No comments: