Tuesday, March 25, 2008

Tujuan Tuntutan Menutup Aurat.

Isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia termasuk dalam kategori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang diperjuangkan oleh syaitan.

Sebabnya, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, buang anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi.

Perihal syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya:-

"Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya.." (Al-A'raf:20)

Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah:-

a) Perbezaan dengan binatang.

Allah SWT berfirman ertinya : "Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu satu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" (Al-A'raf:26)

Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiata sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru sesiapa yang berpaling dari arahan ini, secara tidak langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.

b) Agar kaum wanita tidak disakiti.

Ia berdasarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.

c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut: "..yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).."

Jelaslah menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam.

d) Tanda profesionalisme dalam sistem pemakaian Islam.

Kita dapat memerhati bagaimana 'trend' sesebuah organisasi atai restoran meletakkan 'dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu.

Justeru, Islam adalah satu cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan didalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan.

Walaupun demikian, Islam tidak mengarahkan umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu 'standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.

e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Firman Allah ertinya: Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk:2)

Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya ?.


Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah, Masjid Negeri Sabah.

Thursday, March 20, 2008

Maulidur Rasul





Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W (Sallallahu Alaihi Wasallam). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.


Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.


Dipetik dari:- http://ms.wikipedia.org/wiki/Maulidur_Rasul

Wednesday, March 19, 2008

TUDUNG NIPIS, BAJU SINGKAT SELUAR KETAT

"Bicara tentang batasan aurat,
Terutama sekali bagi muslimat,
Kerana kelihatan dalam masyarakat,
Dibuangnya Islam, dijauhinya adat.

Yang kelihatan pada remaja,
Batas aurat tidak dikira,
Pakaian ditubuh tidak terjaga,
Tanpa malu, silu dan dosa.

Tudung nipis terbayang rambut,
Rambut terjulur kerana singkat,
Kepala dililit kepala kain diikat,
Jambul tertonjol terasa hebat.

Baju t-shirt menjadi kegemaran,
Nampak ketiak tiada lengan,
Bulu roma jelas kelihatan,
Parut dan tahi lalat bertebaran.

Baju sendat tertonjol dada,
Sepatutnya dilabuh berlaku tiada,
Lelaki melihat menempa dosa,
Menjadi fasiq mudah sahaja.

Seluar ketat menjadi pakaian,
Tiada beza lelaki perempuan,
Terutama jeans pudar jadi pilihan,
Sarung nangka pun boleh tahan.

Apa jadi dengan remaja,
Namanya Islam, iman tiada,
Perintah Tuhan buat bersahaja,
Larangan Allah buat selamba.

Allah murka Syaitan menang,
‘Perempuan berpakaian tapi bertelanjang’
Ada baju tak cukup benang,
Dihumban ke neraka sangatlah malang.

Saya hanya boleh menasihat,
Kepada remaja dan muslimat,
Ikut Islam akan selamat
Ikut syaitan akan dilaknat.

Dipetik dari :-
Syukbah Dakwah, Masjid Negeri Sabah (Bil 26/07)
Lawati : http://www.sabah.org.my/mns