Tuesday, April 22, 2008

Dakwah Fardiyyah

Dakwah Fardiyyah

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah s.w.t yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada
Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk
orang-orang yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Jika Allah s.w.t memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih
baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayt at-Tabrani)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan berbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah ‘Ammah (dakwah umum) yang dicernakan melalui pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media masa seperti buku-buku, risalah-risalah, suratkhabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah Fardiah (dakwah individu) yang tidak kurang pentingnya..

Diambil dari buku " BERDAKWAH KEPADA ALLAH (DAKWAH FARDIAH)" oleh Mustapha Masyhur.

Saturday, April 12, 2008

ISLAM

MENGAPA AGAMA INI DINAMAI ISLAM

Ada pun bermacam-macam agama yang ada di muka bumi ini memperoleh namanya masing-masing ada kalanya dibangsakan kepada nama seorang lelaki yang khas, atau kepada ummat yang tertentu yang menumbuhkan dan menyuburkan agama yang berkenaan. Agama Masehi misalnya mengambil namanya daripada A1-Masih ‘a.s. Agama Budha di ambil daripada nama pembawanya, Gautama Budha. Dan agama Zarathustra dimasyhurkan demikian kerana pendirinya dan pembawa panjipanjinya bernama Zarathustra. Demikian juga agama Yahudi muncul di atas pangkuan suatu kabilah yang dikenal dengan nama kabilah Yahuda, maka agama itupun dinamai Yahudi. Demikian seterusnya. Berlainan dengan agama Islam. Ia tidak dibangsakan kepada seorang lelaki yang khas dan tidak kepada ummat yang tertentu. Nama Islam itu menunjukkan sifat yang khas yang dikandung oleh makna perkataan “Islam” itu sendiri. Nyatanya, nama ini tidak menunjukkan pembawa dan pengasasnya yaitu seorang lelaki di antara manusia. Ia bukan khas bagi ummat yang tertentu melainkan seluruh bangsa-bangsa. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi ini dengan sifat Islam. Siapa saja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia zaman lampau atau manusia masa kini, ia adalah Muslim: juga orang yang berhias dengannya pada masa depan adalah seorang Muslim.

MAKNA PERKATAAN ISLAM

Apabila anda memeriksa kitab-kitab kamus, anda akan mengetahui bahawa makna perkataan Islam ialah “tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan Nya tanpa bantahan”. Dinamai agama kita ini dengan Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya tanpa membantah.

dipetik dari buku "ASAS-ASAS ISLAM" oleh Abu’l A’la Al-Maududi

Friday, April 4, 2008

Keajaiban Tajahud

Oleh ZUARIDA MOHYIN

BILA disebut solat tahajud, pasti yang tergambar di minda kita ialah hikmah dan manfaat yang diperoleh hasil daripada pengamalan ibadat sunat tersebut.

Firman Allah SWT: Orang yang solat tahajud akan memperoleh bermacam-macam nikmat yang menyejukkan pandangan mata (as-Sajdah: 16 hingga 17), tutur kata yang berkesan, mantap dan berkualiti, qaulan tsaqila (al-Muzzammil: 5).

Manakala dalam surah al-Israk ayat 79 menjelaskan pengamalnya memperoleh tempat yang terpuji, maqaman mahmudah, baik di dunia mahupun di akhirat dan di sisi Allah.

“Selain itu, bersolat tahajud juga dapat menghapuskan dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan daripada penyakit.” (riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa solat tahajud itu memiliki manfaat praktis, baik dari segi keagamaan mahupun dari sudut kesihatan.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa solat tahajud ini dapat menjaga homeostasis tubuh. Ini bererti Allah mensyariatkan solat tahajud dan supaya dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan bukan untuk kepentingan Allah semata-mata tetapi demi kepentingan yang menjalankan itu sendiri.

Hal ini dijelaskan dalam surah al-Jasiyah ayat 15 yang bermaksud: Sesiapa yang menjalankan amal soleh, maka itu adalah untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan, maka itu akan menimpa dirinya sendiri...

Lantaran itu, penerbitan buku berjudul, Terapi Solat Tahajud-Mukjizat Penyembuh Penyakit oleh PTS Millennia akan mengetengahkan penemuan-penemuan saintifik melalui kaedah psikoneuroimunologi mengenai kuasa penyembuhan yang dihasilkan melalui solat tahajud, teknik dan panduan bagi mewujudkan kuasa penyembuhan dalam solat tahajud yang kita lakukan serta bukti dan fakta-fakta benar yang dapat meningkatkan keyakinan mengenai mukjizat solat tahajud.

Keterangan ini sekali gus membuktikan solat tahajud bukan sahaja menjadi pemangkin kepada peningkatan keimanan dan kekuatan dalaman manusia bahkan ia berupaya meningkatkan kesihatan tubuh dengan menguatkan sistem imunisasi. Bahkan mereka yang menderita sakit-sakit kronik juga mempunyai peluang untuk sembuh melalui kaedah terapi solat tahajud.

Sedikit mengenai penulisnya, Dr. Mohammad Salleh adalah pengasas klinik terapi solat tahajud yang terletak di Masjid al-Akbar, Surabaya, Indonesia. Ramai orang yang mendapat manfaat dari klinik ini dan terbukti, ramai yang semakin sihat serta bertambah kekuatan rohaniah.

Justeru, apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang ini dan miliki buku Terapi Solat Tahajud-Mukjizat Penyembuh Penyakit untuk anda menjadi antara individu yang memanfaatkan mukjizat ini.

Asal dari Utusan Malaysia