Wednesday, December 17, 2008

KHUTBAH HARI RAYA AIDILADHA 1429H/2008M

10hb Zulhijjah 1429H

KHUTBAH HARI RAYA AIDILADHA 1429H/2008M
[KHUTBAH PERTAMA]

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Saudara umat Islam yang dikasihi,

Pada setiap tahun para jemaah haji dari pelbagai pelusok negara di seluruh dunia, tidak kira warna kulit, darjat dan pangkat, berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar umat Islam dalam melaksanakan perintah agama iaitu ibadat haji. Mereka memuji dan mengagungkan kebesaran dan keagungan Allah yang Maha Suci. Dalam perhimpunan tersebut dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam dan seterusnya dapat menyatukan perpaduan ummah.

Hari ini seluruh umat Islam merayakan Aidiladha atau Hari Raya Korban dengan laungan takbir bermula dari malam hari raya, 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari raya ini juga umat Islam melakukan ibadah korban sebagai melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpahan nikmat yang telah diberikan. Demikian pula bagi jemaah haji, pada hari-hari Tasyrik itu, mereka mengerjakan ibadah dan manasik haji seperti melontar jumrah di Mina.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Saudara umat Islam yang dikasihi,

Hari Raya Aidiladha ini tidak dapat dipisahkan daripada ibadah korban. Ibadah korban adalah salah satu syariat yang dituntut kepada umat Islam dan merupakan antara amalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sejarah penyembelihan korban, pada mulanya berasal dari syariat Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam yang� diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam mimpinya supaya baginda mengorbankan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam yang tercinta. Lalu Nabi Ibrahim menyampaikan mimpinya itu kepada Nabi Ismail Alaihissalam dengan hati yang ragu dan khuatir. Dalam menyampaikan berita ini, Nabi Ibrahim berasa gementar kerana baginda tidak menyangka puteranya Nabi Ismail Alaihissalam akan rela mengorbankan dirinya, demi mengikuti perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam dalam menjunjung perintah Allah Subhanahu Wata'ala tersebut jelas menunjukkan betapa kuat dan tekunnya iman mereka. Tiada yang dapat menggugat pendirian keduanya walaupun telah cuba dipengeruhi oleh syaitan dengan menimbulkan keraguan dalam hati mereka.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Saudara umat Islam yang dikasihi,

Sesungguhnya ujian Allah Subhanahu Wata'ala ke atas Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Allah Ismail Alaihissalam itu suatu yang amat berat dan sukar dilakukan oleh manusia biasa tetapi kita boleh melakukan korban dalam bentuk yang lain kerana pengorbanan mempunyai pengertian yang amat luas. Pengorbanan bukan hanya tertakluk pada satu perkara sahaja tetapi meliputi pengorbanan harta benda, waktu, tenaga, fikiran, perasaan kepentingan diri sendiri dan bermacam-macam lagi. Sebagai contoh orang yang memiliki harta bolehlah mengorbankan hartanya untuk membantu orang yang susah dan memerlukan pertolongan seperti fakir miskin dan orang yang ditimpa musibah manakala orang yang berilmu pengetahuan berkorban mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain sehingga menyebabkan orang lain itu pandai. Berpelajaran dan berbakti pula kepada masyarakat. Pengorbanan seumpama inilah yang akan memperolehi pahala yang sangat besar sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abi Mashud Al-Ansari, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa menyeru kepada kebaikan, maka baginya pahala kebaikan sebanyak pahala yang mengerjakannya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Dapatlah kita fahami betapa pengorbanan itu sangat besar ertinya. Tanpa semangat korban orang akan rasa sayang untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk melaksanakan ibadat korban, akan merasa berat hati untuk menghulurkan wang atau bantuan kepada orang-orang yang memerlukan, lebih-lebih lagi orang yang bukan kaum kerabatnya, tidak akan bersedia berkorban masa, tenaga atau fikiran jika tidak ada kepentingan untuk dirinya dan sebagainya.

Kadangkala hati tergerak untuk melakukan pengorbanan tetapi tidak juga dilaksanakannya. Ini kerana diri dan jiwanya telah ditewaskan oleh godaan syaitan yang membisikkan kata-kata yang menimbulkan rasa sayang pada wang ringgit, takut rugi, takut hartanya kurang, tidak mendatangkan keuntungan, membuang masa dan sebagainya. Maka rugilah orang yang terpengaruh dengan bisikan-bisikan serupa itu kerana melepaskan peluang merebut ganjaran yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala. Ingatlah bahawa ajal boleh datang menjemput pada bila-bila masa, jangan sangka kita boleh melakukan pengorbanan atau beramal ibadat di kemudian hari sedangkan kita mensia-siakan peluang masa dan kemampuan yang sedang kita nikmati hari ini.

Muslimin yang berbahagia,

Sememangnya kita dituntut untuk melakukan pengorbanan, tanamkanlah pada diri kita sifat ingin berkorban tanpa merasa takut dan rugi kerana ganjaran yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala itu sangat besar. Akhirnya marilah kita sama-sama bertekad dan berazam melakukan apa jua jenis pengorbanan, apa yang penting hendaklah dengan niat yang suci dan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Hujuraat ayat 15 tafsirnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka terus percaya dengan tidak ragu-ragu lagi serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar pengakuan imannya".

[KHUTBAH KEDUA]

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Walillah ilham.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Saudara-saudara umat Islam yang dirahmati Allah,

Ibadat korban adalah sebagai memperingati kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam iaitu ketabahan seorang ayah yang sanggup hendak menyembelih anak kesayangannya manakala anak pula taat dan ikhlas serta rela untuk disembelih demi menyahut dan melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Itulah ketaatan yang luar biasa yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam sebagai hamba yang soleh dan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Dari peristiwa tersebut dapatlah kita mengambil iktibar perihal ketaatan yang tidak berbelah bahagi seorang anak terhadap orang tua. Sememangnya Allah Subhanahu Wata'ala mewajibkan kepada kita agar sentiasa taat dan berbuat baik serta berbakti kepada kedua ibu bapa. Kerana merekalah kita lahir dan dapat menikmati kehidupan di dunia ini.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Ahqaaf ayat 15 tafsirnya :

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan".

Sesungguhnya pengorbanan ibu bapa sangatlah besar kerana mereka telah bersusah payah membesarkan kita dan sanggup berkorban apa saja demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta demi kasih mereka terhadap anak-anak. Ibu bapa sanggup berpenat lelah dan berusaha sedaya upaya mendapatkan nafkah untuk menyara anak-anak, mereka sanggup berjimat dan mengikat perut mereka semata-mata untuk menyenangkan anak-anak sehingga ada di antara anak-anak mereka yang hidup senang-lenang kerana mendapat pendidikan yang sempurna.

Oleh itu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa, apakah wajar anak berlaku derhaka kepada mereka dan lupa terhadap jasa-jasa yang mereka curahkan? Mungkin kita pernah mendengar kisah anak yang tidak menghormati ibu bapa, tidak mahu mendengar nasihat sehingga lari dari rumah, sedangkan ibu bapa dalam kebimbangan dan kekhuatiran. Dan ada pula kisah anak yang tidak lagi memperdulikan orang tua mereka, sehingga tidak mengindahkan keperluan dan kebajikan mereka.

Adalah menjadi kewajipan seorang anak untuk mentaati perintah kedua ibu bapa selagi tidak tidak bertentangan dengan akidah dan hukum syarak. Sebagai seorang anak juga diwajibkan supaya berbudi bahasa dan berlemah lembut dengan mereka serta memanggil dengan panggilan yang baik lagi mesra, bukannya menyakiti hati mereka baik dengan tingkah laku, bahasa dan percakapan yang kurang sopan. Berikanlah mereka kasih sayang sebagaimana mereka mengasihi kita.

Selain itu, seorang anak mestilah bersedia dan rela mengorbankan masa dan harta untuk memelihara ibu bapa sehingga mereka merasa selesa dan aman dalam menjalani kehidupan ini.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,

Saudara umat Islam yang dikasihi,

Kita renung sejenak sebuah kisah anak yang derhaka dan balasan terhadapnya. Seorang ahli ibadah yang terkenal di kalangan Nabi Israil bernama Juraij telah mendirikan surau khas untuk memudahkan dirinya beribadat. Ketekunan dan kesalihan beliau beribadat telah melalaikan tanggungjawab terhadap ibunya. Panggilan ibunya berulang-ulang kali tidak diindahkannya namun beliau tetap mengerjakan solat sunat. Lalu ibunya berdoa memohon sesuatu perkara yang buruk terhadap anaknya Juraij sehingga Allah mengkabulkan doa ibunya iaitu seorang perempuan jalang cuba menggoda Juraij tetapi tidak berjaya. Perempuan jalang ini telah berzina dengan seorang pengembala kambing sehingga melahirkan seorang anak dan mengaku bahawa anak itu adalah hasil hubungannya dengan Juraij.

Orang ramai yang mendengar pengakuan itu berasa amat marah lalu memukul Juraij dan meroboh surau tempatnya beribadat. Akhirnya bayi (anak damit) itu berkata-kata dan membuat pengakuan bahawa ayahnya ialah seorang pengembala kambing.

Dari kisah tersebut dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa apa jua perbuatan anak yang boleh menimbulkan rasa kurang senang ibu bapa lebih-lebih lagi menyakiti hati mereka adalah berdosa besar dan perbuatan tersebut akan segera mendapat balasan dari Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani yang bermaksud :

"Tiap-tiap dosa itu ditangguhkan pembalasannya oleh Allah sesuai dengan kehendak-Nya sampai Hari Kiamat kecuali dosa kerana derhaka kepada kedua ibu bapa disegerakan oleh Allah. Pembalasannya kepada yang punya dosa di waktu ia masih hidup di dunia dan sebelum ia mati".

Akhirnya sama-samalah kita menanamkan semangat berkorban ke dalam diri kita pada setiap masa dan ketika kepada kedua orang tua. Mudah-mudahan dengan demikian kita tergolong dari kalangan anak-anak yang soleh, taat kepada ibu bapa dan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan mereka. Semoga pengorbanan kita terhadap kedua orang tua akan mendapat rahmat dan hidayah serta diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Israa' ayat 23-24 tafsirnya :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana balas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil".


dipetik dari :- http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=326